Kenyataan Media: Kementerian Kerja Raya salah prioriti dengan mengurang RM459juta peruntukan penyelengaraan jalan persekutuan tetapi membayar pampasan konsesi lebuhraya sebanyak RM459juta
19 November 2014
Dalam sesi perbahasan jawatankuasa Kementerian Kerja Raya semalam, saya telah membangkitkan pengurangan peruntukan penyelengaraan jalan persekutuan yang mendadak. Untuk butiran 060700 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan, peruntukan telah berkurang dari RM429 juta (2014) ke RM160 juta (2015), iaitu pengurangan RM269 juta (-63%). Untuk butiran 060800 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia, peruntukan telah berkurang dari RM640 juta (2014) ke RM450 juta (2015), iaitu pengurangan RM190 juta (-30%). Jumlah pengurangan kedua-dua butiran tersebut adalah RM459juta.
Peruntukan penyelenggaraan melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan seperti penurapan semula, pengantian papan-papan tanda, penampalan lopak lubang jalan (potholes), memotong rumput, mencantas pokok, menyapu jalanraya, membersihkan longkang jalanraya. Ekoran pemotongan bajet, saya menjangkakan pada tahun 2015 keadaan jalan raya persekutuan akan menjadi sangat teruk dan merbahaya. Nyawa pengguna jalan persekutuan terutamanya penunggang motosikal akan terancam.
Pengurangan yang mendadak untuk penyelenggaraan di kawasan Sabah, Sarawak dan Labuan paling serious, kerana pengurangan RM269juta atau -63% akan menyebabkan keadaan jalan persekutuan di sana yang kini sudah dalam keadaan teruk bertambah teruk. Ironinya, kedua-dua menteri dan timbalan menteri adalah wakil rakyat dari kedua-dua negeri tersebut.
Pada masa yang sama, butiran 070100 Bayaran Pampasan Tol secara “one-off” untuk tahun 2015 adalah RM458.7juta. Apabila peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan telah berkurangan RM459 juta, bayaran pampasan konsesi pula akan dibayar RM459juta. Adakah ini menjadi satu kebetulan? Mengapak mengadaikan bajet penyelenggaraan tapi bayar syarikat tol? Kementerian harus menjawab soalan tersebut.
Pada pendapat saya, pengurangan RM459 juta peruntukan penyelenggaraan tetapi membayar RM459juta kepada konsesi tol amat tidak bijaksana. Syarikat Konsesi tol merupakan syarikat komersial yang mementingkan keuntungan (profit-oriented). Mereka telah mengutip tol yang berjumlah berbilion ringgit. Sekarang, kerajaan persekutuan akan membayar mereka secara tambahan. Adakah kerajaan pusat lebih mendahulukan rakyat atau syarikat-syarikat konsesi besar?
Timbalan menteri Dato’ Rosnah juga menyatakan bahawa KKR terpaksa membayar pampasan 20 syarikat konsesi lebuhraya sebanyak RM560juta dalam tahun 2015. KKR juga berkata mungkin akan meminta bajet tambahan (supplementary budget) pada pertengahan tahun depan. Ini amat mengejutkan. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan pusat menangani ketamakan syarikat-syarikat konsesi tol, rakyat menjadi mangsa.
Saya berasa kesal kerana peruntukan KKR tahun 2015 salah meletakkan priority dan gagal perancangan. Pembayaran pampasan konsesi tol tidak menyelesaikan masalah sebenar. Masalah sebenar adalah kontrak tol yang berat sebelah. Kementerin KKR seharusnya memangil syarikat-syarikat konsesi tol untuk merunding semula perbetulkan masalah kontrak. Ini akan sekaligus menyelesaikan masalah yang berulang setiap tahun.
Sim Tze Tzin, MP Bayan Baru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan